PETALING JAYA: Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempermudahkan proses memulakan perniagaan kepada rakyat di negara ini, sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, ini kerana permohonan permulaan perniagaan ketika ini terlalu ketat dengan syarat yang mungkin sukar untuk dipenuhi.
Sehubungan itu, katanya, proses tersebut perlu dipermudahkan supaya ia dapat membuka ruang dan peluang kepada mereka yang tergolong dalam kalangan miskin untuk menyara kehidupan melalui aktiviti perniagaan.
“Peluang pekerjaan melalui perniagaan kecil perlu dipermudahkan kepada mereka melalui apa sahaja skim pinjaman untuk membantu meneruskan kehidupan.
“Jadi permohonan memulakan perniagaan tidak perlu ketat sangat supaya ia dapat dipermudahkan, maka perlu tindakan segera untuk menangani isu ini dengan lebih serius lagi.
“Paling penting sekali adalah harga barang, ini yang amat memberi kesan kepada semua masyarakat apatah lagi golongan miskin mahupun miskin tegar. Harga barang perlu dikawal dan ditangani dengan sebaiknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Malaysia merekodkan 434,197 Ketua Isi Rumah (KIR) tergolong dalam kelompok miskin dan miskin tegar dengan kehidupan kumpulan itu semakin tersepit apabila negara kini dilanda kenaikan kos sara hidup akibat inflasi.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 130,709 mewakili KIR berstatus miskin tegar manakala 303,488 lagi KIR berstatus miskin.
Kadar garis kemiskinan nasional di Malaysia ialah pendapatan bagi satu keluarga RM2,208 sebulan manakala bagi miskin tegar bawah RM1,169.
Mengulas lanjut, Halim berkata, biarpun Kabinet masih belum terbentuk, gabungan politik yang membentuk kerajaan digesa untuk dapat merealisasikan tawaran yang dikemukakan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.
Beliau berkata, langkah itu penting untuk membantu golongan yang terkesan itu, selain sebagai keyakinan bahawa kerajaan terbentuk itu mengutamakan rakyat.
“Semua parti ada manifesto yang menjanjikan pelbagai langit dan bintang untuk pembangunan ekonomi, jadi diharap dapat dilaksanakan dengan seberapa segera dengan langkah efektif dan bukannya persulitkan.
“Inilah masanya untuk menunaikan janji dan bekerja, dan bukannya sibuk lagi berpolitik. Fasa pilihan raya sudah habis, maka perlu bekerjasama untuk membangunkan ekonomi, dan bukannya sambung kempen politik.
“Ramai rakyat Malaysia terutamanya anak muda sudah matang, maka pemimpin politik perlu berubah, mesti menunjukkan kepimpinan yang lebih matang dan postif, bukan asyik dengan isu fitnah,” tegasnya. –UTUSAN