NIBONG TEBAL: Keputusan mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bergantung kepada hasil pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan tamat tiga tahun lagi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan membabitkan kedua-dua peperiksaan itu perlu merujuk kepada fakta dan data yang dikumpulkan sepanjang tempoh terbabit.
Menurut beliau, kerajaan memahami keprihatinan ibu bapa susulan anak-anak tidak menduduki peperiksaan, namun pihaknya sudah melalui proses sangat panjang sebelum memutuskan untuk memansuhkan UPSR.
“Kita kena bentangkan dahulu hasil laporan PPPM 2025 untuk melaksanakan penambahbaikan sistem pendidikan pada masa akan datang.
“PPPM akan tamat pada 2025 dan laporan terbabit akan menunjukkan keberhasilan melibatkan peperiksaan dan proses pembelajaran anak-anak.
“Tunggu laporan itu dahulu, lihat hasilnya dan sekiranya ada cadangan untuk kembalikan semula peperiksaan, itu semua bergantung kepada laporan pelan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau diminta mengulas berhubung sama ada peperiksan UPSR dan PT3 akan dilaksanakan semula dalam masa terdekat.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal meluangkan masa lebih tiga jam bagi mendengar permasalahan rakyat di kawasannya membabitkan pelbagai isu untuk perhatian di Pusat Khidmat Rakyat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kementerian mahu mengukuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk penambahbaikan, kemajuan dan potensi pelajar berbanding peperiksaan.
“Kalau kita tengok, PBS ini adalah proses ansur maju kanak-kanak, maknanya kita kena lihat secara holistik kerana ia tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja.
“Justeru, peranan kita sekarang adalah untuk memperkasakan PBS yang sedia ada melalui pengenalan ujian akhir akademik, bukan seperti UPSR atau PT3 yang lebih memfokuskan kepada peperiksaan,” katanya.
Sebelum ini, ramai ibu bapa menuntut agar UPSR dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.
Rata-ratanya mendakwa Kementerian Pendidikan belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.- UTUSAN