Kembalikan sesi baharu persekolahan bulan Januari

Kembalikan sesi baharu persekolahan bulan Januari

NGO-NGO pendidikan mendesak sesi persekolahan baharu dikembalikan semula pada bulan Januari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Takwim sesi persekolahan baharu yang dianjakkan kepada Mac sejak tahun lepas sewajarnya dikembalikan semula kepada jadual asal iaitu bermula Januari untuk sesi 2024.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, kerajaan baharu khususnya Kementerian Pendidikan perlu memulakan usaha untuk mengembalikan sesi persekolahan kepada bulan Januari bagi memudahkan pengurusan agar lebih baik dan terancang.

Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan secara berperingkat dan tidak tergesa-gesa bagi memberi ruang kepada ibu-bapa membuat persiapan untuk persediaan pembukaan sekolah.

“Bagi saya, sebaiknya kita kembali kepada sesi persekolahan asal kerana tempoh pandemik pun sudah habis dan kita pun sekarang sudah berada di dalam sesi endemik.

“Hendak melaksanakan perkara ini tidak perlu tergesa-gesa dan semua pihak daripada kementerian juga harus terlibat. Selain perlu mendapat maklum balas dari sesi libat urus pelbagai pihak seperti persatuan-persatuan guru dan kongres guru,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, KPM menetapkan sesi akademik persekolahan tahun 2023 dan 2024 bermula Mac kerana mahu memberi ruang yang cukup kepada murid dan pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka selepas tertangguh ekoran penularan Covid-19.

Azizee berkata, selain memudahkan aspek perancangan pengurusan, sesi persekolahan wajar dimulakan pada Januari agar silibus dan sukatan pelajaran dapat dilaksanakan serta diselesaikan tanpa sebarang permasalahan dari segi peruntukan masa.

Katanya, ibu bapa dan pihak sekolah perlu mempunyai hubungan dan kerjasama yang kuat agar apa-apa maklumat berkaitan pembukaan sekolah dapat diterima dan dirancang dengan baik supaya sesi persekolahan dapat berjalan dengan lancar.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom percaya perubahan tarikh permulaan persekolahan itu hanyalah secara sementara.

“Perubahan tarikh sekolah ini dianjakkan kepada bulan Mac adalah disebabkan penutupan sekolah pada wabak Covid-19 yang dahulu.

“Jadi disebabkan ada isu-isu pelajar tidak dapat belajar dan sebagainya, tempoh pembelajaran terpaksa dipendekkan untuk memberi peluang kepada pelajar yang lain khususnya yang akan menghadapi peperiksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan pula berkata, tarikh persekolahan yang sekarang perlu dikekalkan dengan cara baharu ini.

“Pada pendapat saya, elok dikekalkan kerana jika awal sangat, ibu bapa akan menghadapi pelbagai dugaan dan permasalahan serta cabaran untuk persiapan persekolahan anak mereka.

“Mereka akan berdepan masalah terutama menjelang sambutan tahun baharu, perayaan-perayaan akhir tahun yang memerlukan kos yang agak tinggi,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya