KUBANG PASU: “Tolong doakan untuk Danish, keadaannya masih lagi kritikal”.
Demikian rayu ibu kepada Wan Aliff Danish Wan Mohamad Naim, 11, yang masih kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar setelah cedera dihempap tiang elektrik di Kampung Belukar, Changlun dekat sini, Selasa lepas.
Menurut Nor Zuraidah Zainon, 29, anak sulungnya itu masih bertarung nyawa ekoran kecederaan teruk dialami pada bahagian badan termasuk muka akibat insiden yang mengorbankan rakannya, Muhammad Aqil Wafiq Ruslizan, 10.
“Danish masih tak sedarkan diri. Doktor ada maklumkan dia cedera pada badan termasuk pendarahan paru-paru selain tulang pipinya retak. Saya mampu berdoa agar dia kembali sedar walaupun peluang dia cuma 50-50 sahaja.
“Saya harap semua mendoakan untuk Danish juga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belukar, Changlun di sini hari ini.
Terdahulu, Nor Zuraidah dan suaminya, Wan Mohamad Naim Wan Fadzilah, 30, yang juga peniaga menerima kunjungan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang turut menghulurkan sumbangan.
Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Aqil Wafiq maut akibat kecederaan parah setelah dihempap tiang elektrik konkrit dipercayai seberat 800 kilogram itu ketika bermain di kawasan berkenaan.
Seorang lagi mangsa, Wan Faiz Ikram Wan Zaidy, 13, cedera pada bahagian badan dan menerima rawatan di wad biasa HSB.
Menurut Nor Zuraidah, Wan Faiz Ikram yang juga anak saudaranya pula masih berada dalam keadaan trauma dan ketakutan akibat insiden tersebut.
“Faiz menceritakan detik-detik mencemaskan itu kepada kami dengan menggigil kerana dia yang menyaksikan sepupunya, Danish dan rakannya, Aqil, dihempap tiang elektrik itu depan mata.
“Faiz cerita dia sempat melompat keluar daripada runtuhan tiang elektrik yang bergolek itu sebelum menjerit minta tolong,” katanya.
Sementara itu, Wan Mohamad Naim berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya baru pulang berniaga di pekan Changlun sebelum terdengar bunyi dentuman dan riuh rendah dari kawasan longgokan tiang elektrik itu.
“Saya cuma dengan suara Faiz meminta tolong dan terus ke lokasi. Saya lihat orang ramai membantu menahan tiang elektrik itu daripada terus menghimpit Danish dan Aqil,” katanya. –UTUSAN