Kawasan rekreasi di Kedah ditutup sementara

Kawasan rekreasi di Kedah ditutup sementara

SEMUA taman eko-rimba (TER), hutan taman negeri (HTN) dan kawasan pendakian dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) ditutup sementara di Kedah.-SEKADAR GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) memutuskan untuk menutup sementara semua taman eko-rimba (TER), hutan taman negeri (HTN) dan kawasan pendakian dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di sepanjang tempoh musim tengkujuh ketika ini.

Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah berkata, penutupan itu akan dilaksanakan hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini. 

Katanya, penutupan itu bermakna sebarang aktiviti termasuk pendakian gunung, kegiatan sukan lasak berkenderaan dan lain-lain aktiviti riadah tidak dibenarkan. 

“Penutupan sementara ini bagi mengelak sebarang kemalangan disebabkan bencana atau kemalangan seperti pokok tumbang, tanah runtuh, lemas, fenomena kepala air dan sebagainya. Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Tambahnya, TER dan HTN yang ditutup kesemuanya terletak di bawah pengurusan JPNK melibatkan TER Bukit Wang, Puncak Janing, Sungai Teroi, Lata Mengkuang, Sungai Rambai, Tupah, Bukit Hijau, Lata Bayu, Ulu Paip serta Taman Negeri Ulu Muda. 

Katanya, ketika ini, terdapat 15 kawasan yang ditutup sementara bagi sebarang aktiviti pendakian iaitu Gunung Jerai, Gunung Kemerlong, Bukit Perak, Bukit Enggang, Bukit Saiong, Gunung Bintang, Bukit Besar Kulim, Bukit Batu Merah, Bukit Fakir Terbang, Bukit Air Terjun Lebai Husin, Bukit Kilim, Gunung Matchinchang, Bukit Selat Panchor, Gunung Raya melibatkan Tangga Helang Seribu dan Bukit Batu Licin berhampiran Pulau Tuba. 

“Penutupan sementara ini bagaimanapun tidak termasuk TER yang diswastakan kepada operator dilantik kerajaan negeri. 10 TER diswastakan itu antaranya adalah Pasir Tengkorak, Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, Tasik Dayang Bunting dan Gua Cherita di Langkawi. 

“TER lain yang diswastakan adalah Seri Perigi, Batu Hampar dan Titi Hayun di Yan, Perangin di Sik dan Sungai Sedim di Kulim,” katanya. 

Menurutnya, syarikat serta operator di kawasan diswastakan itu bagaimanapun turut dinasihatkan agar menghentikan operasi mereka buat sementara waktu. 

“Tanggungjawab menjaga keselamatan pengunjung di TER yang diswastakan tertakluk kepada operator masing-masing. JPNK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan mahu pun kecelakaan yang berlaku di sepanjang musim tengkujuh ini. 

“Pihak JPNK berharap agar semua pengunjung mematuhi arahan dikeluarkan untuk keselamatan semua,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya