ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas 35 ketulan mampat disyaki ganja yang disorokkan di sebuah bengkel kereta di pekan Changlun, Kubang Pasu, Ahad lepas.
Pengarahnya, Nor Izah Abd. Latif berkata, modus operandi penjenayah adalah menyembunyikan dadah bernilai RM142,000 itu di dalam sebuah pikap di bengkel berkenaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Bertindak atas maklumat risikan dan pemantauan rapi selama dua minggu, sepasukan anggota kastam daripada Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar membuat serbuan ke premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan rapi menemukan dadah dipercayai ganja itu dalam empat kotak putih dan disimpan dalam pikap bernombor pendaftaran negara jiran,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pikap yang menyimpan dadah tersebut turut dirampas selain seorang lelaki warganegara tempatan berusia lingkungan 50-an direman sehingga 9 Disember bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.-UTUSAN