PETALING JAYA: Penggunaan kamera badan dalam kalangan penguat kuasa kesihatan mampu menangani isu rokok secara keseluruhannya termasuk mengesan perokok tegar di kawasan-kawasan larangan seperti premis makanan.
Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, inisiatif itu dalam masa sama dapat mengenal pasti golongan penjual rokok haram yang semakin berleluasa ketika ini.
“Perkembangan ini amat baik seiring dengan di negara-negara maju yang menggunakan teknologi dalam pelaksanaan penguatkuasaan sebagai langkah keselamatan di samping untuk mengesan pesalah.
“Saya harap inisiatif ini dapat diperluaskan ke seluruh negara terutama di lokasi hotspot kerana jumlah kawasan perokok haram di Malaysia adalah tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr. Nor’Aishah Abu Bakar berkata, sebanyak 147 notis kesalahan larangan merokok dikeluarkan dalam 10 operasi penguatkuasaan di sekitar ibu negara dan Putrajaya sejak 12 Disember lalu.
Katanya, tindakan tersebut diambil penguat kuasa jabatan itu berdasarkan penggunaan kamera badan.
Katanya, rakaman video dan gambar yang direkodkan akan digunakan sebagai bahan bukti kesalahan dan sokongan keterangan selain menjaga keselamatan dan memelihara integriti anggota penguat kuasa.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, langkah berkenaan diyakini mampu memberi pengajaran kepada individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan.
Katanya, walaupun larangan merokok di semua premis makanan dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2019, namun masih ramai yang melanggar peraturan berkenaan.
“Apabila ditegur kakitangan restoran, ada perokok yang mahu mengugut dan memukul mereka jadi saya bersetuju dengan penggunaan kamera badan oleh penguatkuasa kesihatan.
“Kita harap penguatkuasa lain turut dilengkapi teknologi sama termasuk polis,” katanya.-UTUSAN