KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini semakin menurun kepada 30,143 setakat pukul 8 pagi tadi berbanding seramai 32,089 orang semalam.
Bagaimanapun, jajahan Jeli kembali dilanda banjir apabila tiga pusat pemindahan sementara (PPS) kembali dibuka yang menempatkan seramai 198 mangsa.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan seramai 1,946 mangsa.
Menurutnya, setakat ini, sebanyak 9,200 buah keluarga masih berada di 119 pps dan angka itu menunjukkan penurunan apabila 9,542 keluarga ditempatkan di 135 PPS semalam.
“Pasir Mas kekal menjadi jajahan paling teruk terjejas apabila melibatkan seramai 13,899 mangsa diikuti Pasir Puteh (5,887 mangsa), Tumpat (4,624 mangsa) dan Bachok (1,693 mangsa).
“Pada masa yang sama, seramai 1,446 mangsa banjir di Kuala Krai, Kota Bharu (1,501) Tanah Merah (765 mangsa), Machang (130 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hanif, memberitahu, paras air Sungai Golok di Jenob, Rantau Panjang dan Kuala Jambu mencatatkan penurunan, namun masih menunjukkan paras bahaya.
Katanya, bagaimanapun, paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai menunjukkan peningkatan dan berada pada paras amaran manakala di Tambatan Diraja, Kota Bharu berjaga-jaga.-UTUSAN