SEREMBAN: Jualan telur ayam di rangkaian pasar raya besar Mydin hanya mencapai 640,000 biji sebulan berkurang hampir separuh berikutan krisis kekurangan bekalan di pasaran tempatan sejak tiga bulan lalu.
Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Ahimmat Mydin berkata, walaupun telur import telah dibenarkan namun ia masih tidak dapat menampung keperluan pengguna berbanding jualan 1.6 juta biji telur sebulan pada waktu normal.
“Kami sudah terima telur import dari India tetapi masih tidak cukup, semestinya pengguna lebih memilih telur tempatan berbanding telur import ini.
“Daripada segi keuntungan lebih kurang sama, harga telur import gred C dijual pada harga RM0.50 manakala telur Gred C tempatan dijual pada harga 41 sen sebiji manakala Gred A pula adalah 45 sen sebiji,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Program Jelajah Generasi Pintar @ Mydin Prihatin dengan memberi bantuan keperluan sekolah kepada murid kurang berkemampuan di Mydin Seremban 2 di sini hari ini.
Jelas Ahimmat, pengimportan telur perlu mengambil kira kos pengangkutan selain risiko mudah pecah ketika di bawa masuk ke negara ini.
“Bagaimanapun, dengan kemasukan telur import dan dasar ekonomi terbuka, bekalan telur ayam dijangka kembali stabil dalam tempoh dua ke tiga bulan lagi.
“Harga barangan boleh diturunkan sekiranya import dibenarkan dengan mengguna pakai teori semakin banyak barang maka kos harga dapat dikurangkan,” katanya.
Ahimmat memberitahu, perkara itu dapat menggalak usaha kerajaan untuk menurunkan harga barang sekali gus menyumbang kepada pendapatan negara menerusi cukai import.
Dalam pada itu, Ahimmat turut menyasarkan prestasi jualan Mydin kembali stabil seperti sebelum fasa pandemik Covid-19 iaitu mencapai RM3.2 bilion pada 2023.
Pada Program Jelajah Generasi Pintar, Mydin memperuntukkan RM50,000 untuk membantu seramai 400 murid dari keluarga B40 di seluruh negara untuk membuat persiapan sesi persekolahan akan datang.-UTUSAN.