SEREMBAN: Johan Tilawah dan Hafazan al-Quran Kebangsaan, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, 24, hari ini menerima Ijazah Sarjana Muda Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Ia sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 universiti tersebut yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai di sini.
Aiman Ridhwan yang merupakan anak sulung daripada dua beradik dan berasal dari Taiping, Perak berkata, pembahagian masa yang betul adalah amat penting buat dirinya ketika perlu menumpukan perhatian pada pengajian dan latihan untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran.
“Alhamdullilah, hari ini saya berjaya menamatkan pengajian, pembelajaran al-Quran ini bukan hanya pada kelas yang saya hadiri, namun, ia pembelajaran sepanjang masa dalam kehidupan.
“Bagi saya, pembahagian masa amat penting dan saya berlatih membaca al-Quran dengan betul untuk fokus dalam bidang ini. Taranum, kiraat, hadis adalah merangkumi cabang dalam ilmu al-Quran juga.
“Alhamdullilah, segalanya dipermudahkan walaupun jadual agak padat,” katanya ketika ditemui hari ini.
Aiman Ridzwan yang menghafal 30 juzuk itu juga memaklumkan kini menjadi seorang imam secara separuh masa di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor.
“Saya kini bekerja separuh masa dan sekiranya ada rezeki, saya berhasrat menyambung pengajian dalam bidang taranum kemungkinan di USIM atau di universiti lain.
“Saya juga ada menyertai khidmat masyarakat al-Quran dan turut berdakwah bersama komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga yang merupakan naib juara peringkat antarabangsa mengakui rahsia kecemerlangannya dalam bidang itu adalah dibantu oleh pensyarahnya, Dr. Anwar Husin.
“Beliau banyak membantu saya mempelajari tilawah ini termasuk format, teknikal sebelum menyertai mana-mana pertandingan. Ini turut merangkumi kelas yang dihadiri sepanjang kelas,” katanya. –UTUSAN