AL WAKRAH: Pengurus Croatia, Zlatko Dalic berkata, pasukannya tidak akan menyerah dan telah memberikan kepercayaan kepada rakyat negara itu ‘hari esok yang lebih baik’ selepas menamatkan cabaran Jepun melalui penentuan sepakan penalti sekali gus melayakkan mereka ke babak suku akhir Piala Dunia.
Naib juara 2018 itu, yang juga negara terkecil dalam kejohanan bola sepak empat tahun sekali itu menang menerusi sepakan penalti 3-1 ke atas Jepun dalam pusingan 16 terakhir, Isnin lalu.
Setakat ini, enam daripada tujuh perlawanan Croatia di peringkat kalah mati dalam Piala Dunia lebih banyak dihabiskan dengan masa tambahan dan ketua jurulatihnya menegaskan, ia menandakan bahawa pasukannya sangat berdaya tahan dan tidak boleh dipandang remeh.
“Kami akan terus berjuang untuk capai impian menggunung ini. Kami akan bermain sepenuh hati apabila menentang Brazil pada aksi suku akhir nanti.
“Generasi ini adalah skuad yang tabah dan tidak mudah berputus asa. Mereka cerminan rakyat Croatia yang telah melalui banyak kesakitan. Pasukan ini bawa banyak kebanggaan dan kegembiraan kepada rakyat. Kami beri mereka kepercayaan bahawa ada hari esok yang lebih baik.
“Di Rusia dahulu kami tak beraksi, jadi sebab itu saya beritahu pemain bahawa inilah peluang mereka mencipta sejarah. Saya selalu ingatkan mereka, jangan pandang rendah kepada rakyat Croatia,” kata Dalic.
Dalam aksi itu, Jepun kaku dalam penentuan sepakan penalti oleh Takumi Minamino, Kaoru Mitoma dan Maya Yoshida apabila ketiga-tiganya gagal menembus gawang Croatia apabila bola berjaya diselamatkan penjaga gol, Dominic Livakovic.
Meskipun tewas, jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu berkata, pasukannya boleh berbangga dengan Piala Dunia 2022 kerana telah menewaskan Sepanyol dan Jerman, sekali gus membuktikan keberadaan mereka setanding skuad elit.
“Kami tidak boleh melakukan semuanya sekali gus. Kita tidak boleh menjadi adiwira dalam satu masa.
“Kami perlu tingkatkan langkah demi langkah dan tidak syak lagi bahawa Jepun telah mencapai tahap di mana kami boleh bermain di pentas dunia dan semua pemain kami menjalani proses pembelajaran,” katanya. – Agensi/UTUSAN