DOHA: Gary Neville menasihati barisan pemain England agar bijak menyekat bola daripada singgah ke kaki Antoine Griezmann dan Olivier Giroud jika mahu menyekat Kylian Mbappe daripada mengganas di gawang gol Three Lions.
Bintang Perancis itu menyumbat dua gol ketika membantu pasukannya membenam Poland 3-1 dalam perlawanan pusingan 16 terbaik sebelum ini meletakkannya selaku penjaring terbanyak di Piala Dunia setakat ini.
Menurut Neville pemain bek kanan England, Kyle Walker perlu diberi peranan utama mengekang pergerakan Mbappe kerana pemain itu dilihat sangat sesuai untuk tugasan itu.
“Saya tidak nampak ada pemain bek lain yang boleh memikul peranan itu. Saya agak memilih dalam hal ini. Dia (Mbappe) seorang pemain yang sensasi dan terbaik di dunia. Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo kini berada di penghujung karier.
“Kyle perlu sentiasa mengawasi dia (Mbappe) dan pada masa sama memastikan rangkaian jentera serangan Perancis tidak mempunyai ruang di kawasan England,” ujarnya. – Agensi/UTUSAN