SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan sekarang sebagai masa yang sesuai untuk membincangkan berkenaan status tanah tapak bekas kondominium mewah, Highland Towers di Hulu Klang.
Menurutnya, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membincangkan semula tapak tanah terbiar sejak tragedi runtuhan sebuah blok pada 1993.
“Mungkin kita boleh tukar kawasan tersebut menjadi taman atau tugu peringatan dan sebagainya. Jika tidak selamat untuk pembangunan kita kena buat balik. Cuma ada tuntutan daripada pemilik tanah,” katanya ditemui selepas Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan kawasan kondominium mewah, Highland Towers Hulu Klang yang pernah menggegarkan negara hampir 30 tahun itu masih dianggap tidak sesuai untuk sebarang pembinaan berikutan masalah kestabilan tanah.
Malah, ketika ini juga sebarang pelaburan hendak dibuat di kawasan tersebut disifatkan tidak sesuai kerana bakal menelan belanja yang tinggi untuk meruntuh dua blok bangunan serta menyelenggara struktur tanah dan cerun.
Jelas Amirudin lagi yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak, tuntutan oleh pemilik tanah tersebut memerlukan pihaknya berbincang dengan pihak KPKT bagi menyelesaikan isu itu terlebih dahulu.
“Tetapi jika tidak boleh juga (perkara tersebut diselesaikan) maka saya merasakan kawasan tersebut sesuai untuk dijadikan taman.
“Ini disebabkan di kawasan Bukit Antarabangsa pada masa ini tiada kemudahan rekreasi untuk penduduk sekitar,” ujarnya. – UTUSAN