SELAYANG: Ikon permotoran, Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dalam dua telefon bimbit, minggu lalu.
Tertuduh atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, didakwa menyimpan gambar dan video lucah gadis berusia 21 tahun itu dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya.
Pemuda itu yang mempunyai sejuta pengikut dalam aplikasi TikTok di bawah nama `haqiemstopa’, didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 4.30 petang 9 Disember lalu di sebuah rumah di Rawang di sini.
Pertuduhan terhadap Muhammad Sadzri dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Hafizah Rajuni membenarkan pemuda yang dilabel sebagai ikon permotoran itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan pada 23 Februari depan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak yang mewakili Muhammad Sadzri memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia bekerja sebagai pencipta kandungan dan perlu menanggung ibu bapa yang uzur.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) itu berkata, tertuduh akan dijamin oleh kakaknya.
Media pada 10 Disember lalu melaporkan, polis menahan seorang pemuda yang juga ikon permotoran kerana disyaki mengugut menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, suspek ditahan sehari sebelumnya untuk siasatan selepas selepas polis menerima laporan dibuat mangsa.
Suspek direman empat hari hingga semalam bagi membantu siasatan. –UTUSAN