DOHA: Juara bertahan, Perancis perlu memikirkan cara bagaimana untuk menyekat dua gandingan hebat Argentina, Lionel Messi dan Julian Alvarez di pentas final Piala Dunia 2022, Ahad ini.
Semalam, Perancis melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Maghribi 2-0 manakala Argentina lebih awal mengesahkan kemaraan selepas membenam Croatia 3-0 dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Alvarez menyumbat dua gol ketika Argentina mengungguli kemenangan 3-0 ke atas Croatia manakala Messi menambah jaringan menerusi sepakan penalti selepas Alvarez dijatuhkan dalam kotak penalti.
Pemain berusia 22 tahun yang beraksi dengan Manchester City itu sudah meledak empat gol pada kejohanan ini sekali gus menyaksikannya hanya ketinggalan satu gol berbanding penjaring terbanyak yang dikongsi Messi dan bintang Perancis, Kylian Mbappe.
“Kami berhak meraih kemenangan ini. Kami beraksi dengan bagus. Sekarang kami sudah berada di final dan perlu berehat serta mengharapkan perlawanan yang lebih baik Ahad ini.
“Secara peribadi saya sangat gembira. Kami berhak berada di pentas final dan itulah juga yang kami mahukan,” kata Alvarez.
Alvarez terpaksa bersaing untuk membarisi kesebelasan utama dengan jurulatih, Lionel Scaloni pada mulanya lebih memilih Lautaro Martinez.
Penyerang berbakat itu bermula di bangku simpanan ketika Argentina tewas 1-2 kepada Arab Saudi pada aksi pembukaan peringkat kumpulan dan ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Mexico. – Agensi/UTUSAN