Forum Perdana tidak batal tetapi tukar panel lain

Forum Perdana Ehwal Islam tidak batal, namun panel bertukar

TANGKAP layar daripada Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rancangan bual bicara keagamaan popular, Forum Perdana Ehwal Islam tidak dibatalkan malah masih bersiaran seperti biasa selepas slot Berita Perdana di TV1.

Bagaimanapun, salah seorang anggota panel program bicarawara tersebut, Dr. Ridhuan Tee Abdullah telah pun digantikan dengan pendakwah terkenal, Harryanto Rizal Rokman.

Perkembangan berkenaan sekali gus menafikan dakwaan yang tular sejak semalam lagi konon rancangan tersebut pada malam ini terpaksa dibatalkan atas arahan pihak tertentu.

Perkara itu turut disahkan pendakwah mualaf ternama, Firdaus Wong Wai Hung menerusi laman sosial rasminya yang menjelaskan mengenai program berkenaan tetap diteruskan.

“Ridhuan sendiri mengesahkan kepada saya bahawa namanya memang dikeluarkan daripada rancangan ini dan sudah diganti dengan ahli panel yang lain pula,” nukil beliau.

Forum itu yang ke udara pada 9 malam tadi turut membariskan seorang lagi panel, Datuk Mohd. Kazim Elias dengan dua moderator terkenal, Ustaz Nabil Ahmad dan Rizal Ramli.

Ia disiarkan secara langsung dari Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Kelana Jaya, Selangor dengan ditaja oleh Bank Islam Malaysia Berhad.

Rancangan mingguan ini yang mula bersiaran sejak awal 1980-an lalu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut digemari umat Islam di negara-negara jiran.

Untuk kali ini, program tersebut membawa tajuk Seluas Angkasa yang mengupas peranan ratusan koperasi kariah masjid dalam menjana pembangunan ekonomi ummah setempat.

Semalam, tangkap layar perbualan ringkas oleh Ridhuan melalui aplikasi Whatsapp itu tular diperkatakan ramai warganet tempatan yang turut berasa sedih dengan situasi berkenaan.

“Forum Perdana dibatalkan. Baru sahaja dapat notis daripada pihak RTM. Saya tidak dibenarkan keluar atas arahan menteri,” nukilnya dengan disertakan poster program tersebut.

Tokoh Maulidur Rasul dan Maal Hijrah itu namun tidak pula menjelaskan lebih lanjut manakala pihak RTM dan Jakim tiada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu tersebut. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya