FKJ 2022 angkat seni kraf tangan ke persada dunia

FKJ 2022 angkat seni kraf tangan ke persada dunia

SARAYA Arbi (kanan) tertarik dengan pakaian bermotifkan batik yang dipamerkan Sempena Majlis Perasmian Festival Kraf Johor (FKJ) di Angsana Mall, Johor Bahru disini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penganjuran Festival Kraf Johor (FJK) 2022 yang dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Kraftangan Malaysia dilihat sebagai satu usaha melestarikan kraftangan bukan sahaja dalam negara malah mengangkat nilai estetika seni itu ke persada dunia.

Ketua Setiausahanya, Datuk Saraya Arbi berkata, FJK 2022 yang berlangsung selama 11 hari itu bermula 16 sehingga 26 Disember ini dapat menarik kedatangan pelancong dosmestik dan antarabangsa termasuk Singapura dan Indonesia ke bumi Jauhar.

Jelas beliau, Johor merupakan antara pintu gerbang kemasukan pelancong dari luar negara khususnya mereka yang menghuni Kota Singa, Singapura.

“Berdasarkan statistik daripada Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini seramai 3.2 juta pelancong asing berkunjung ke negara ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 1.8 juta atau 56.3 peratus adalah dari Singapura. Justeru itu, dengan penganjuran FKJ 2022, pelancong asing dapat melihat dengan lebih dekat seni kreatif kraftangan yang dihasilkan lebih 217 usahawan kraf dari seluruh negara.

“Ini sekali gus dapat mengangkat selain menghargai usaha penggiat seni, usahawan serta pencinta kraftangan bukan sahaja dalam negara malah menjadi bualan pelancong antarabangsa yang bertandang dan menikmati kemeriahan festival ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian FKJ 2022 di Angsana Mall di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.

Dalam pada itu, Saraya berkata, usaha Motac dan Kraftangan Malaysia dalam melestarikan industri kraf membuahkan hasil apabila sehingga 30 November lalu, prestasi nilai jualan kraf keseluruhan berjumlah RM258.5 juta melebihi sasaran RM200 yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan pada tahun ini juga memperuntukan RM6.8 juta baucar pembelian produk kraf sehingga dapat merekodkan nilai jualan produk kraf sebanyak RM26 juta.

Sementara itu, pihaknya turut optimis mencapai sasaran RM7.5 juta hasil jualan menerusi penganjuran festival tahun ini yang merupakan kesembilan sejak festival mula diperkenalkan sejak 2011.

“Objektif penganjuran FKJ 2022 adalah memberi peluang perniagaan dalam memasarkan produk kraf Malaysia, mempromosi produk usahawan serta mewujudkan kesedaran selain menanam minat pengguna terhadap seni kraf Malaysia,”katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, penganjuran festival ini juga dapat memberi limpah manfaat secara langsung kepada rantaian sektor pelancongan tempatan antaranya perkhidmatan perhotelan, penyedia makanan dan minuman, pengangkutan serta agensi pelancongan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya