KANGAR: Dua sahabat karib bakal membawa cabaran menjelajah ke dua negara ASEAN dengan menaiki kereta Perodua Kancil menerusi Kembara Anak Perlis Ke Sempadan China 2022 yang bermula hari ini.
Rushafizi Indrus, 41, dan Nor Azman Musa, 41, memulakan perjalanan mereka bagi program kembara itu melalui pintu sempadan Wang Kelian, Malaysia menuju ke Thailand dan Laos.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rushafizi berkata, jarak keseluruhan perjalanan kembara itu dianggarkan sejauh 5,000 kilometer dengan mengambil masa selama sembilan hari.
“Kembara ini merupakan cetusan idea saya sendiri memandangkan pada 2015, saya pernah mengembara ke Laos dengan menunggang motosikal berkuasa rendah.
“Jadi pada kali ini saya bersama rakan cuba untuk mengembara dengan menaiki kereta Kancil pula ke sana,” katanya.
Menurutnya, kembara itu bertujuan memberi inspirasi kepada anak-anak muda bagi meningkatkan semangat jati diri mereka dalam mendepani segala bentuk cabaran.
Selain itu, Rushafizi berkata, pihaknya juga mahu membuktikan bahawa anak Perlis mempunyai jiwa yang kental dan lasak bagi mengharungi cabaran sepanjang perjalanan kembara itu.
“Kami mahu membuktikan bahawa dengan kenderaan lama seperti Perodua Kancil 660cc ini juga mampu sampai ke sempadan negara China,” katanya.
Mengulas mengenai kos bagi perjalanan kembara itu, Rushafizi yang juga seorang guru berkata, dia dan rakannya menggunakan wang simpanan sendiri di samping turut mendapat tajaan daripada beberapa pihak lain.
Tambahnya, persiapan juga telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu termasuk dengan memastikan kenderaan mereka diselenggara dengan baik bagi memastikan perjalanan lancar.
“Kami berharap agar kembara ini dapat berjalan lancar bagi mengharumkan nama negeri Perlis dan Malaysia kepada masyarakat luar,” katanya.-UTUSAN