Dua penolong pegawai pendidikan PPD Tangkak didakwa terima

Dua penolong pegawai pendidikan PPD Tangkak didakwa terima suapan

ABD. Razak (kanan) dan Muhammad Faizal (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan menerima suapan berjumlah RM4,500 dan RM1,500 masing-masing pada tahun 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua Penolong Pegawai Pendidikan yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan menerima suapan berjumlah RM4,500 dan RM1,500 masing-masing pada tahun 2019.

Abd. Razak Mohd. Darom, 40, dan Muhammad Faizal Abd. Razak, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Abd. Razak diberi suapan RM4,500 daripada Siti Aminah Nahar, 39, sebagai bayaran bagi perkhidmatan penyediaan makan jamuan, mesyuarat atau seminar kecemerlangan guru Pendidikan Islam sekolah menengah dan sekolah kebangsaan tahun 2019.

Tertuduh dalam pengetahuannya tahu program berkenaan tidak dilaksanakan dan gagal melapor pemberian sogokan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Muhammad Faizal pula didakwa diberi suapan RM1,500 daripada individu sama sebagai bayaran bagi perkhidmatan penyediaan makan jamuan, mesyuarat dan bengkel kerja pengurusan strategik PPD Tangkak.

Tertuduh dalam pengetahuannya juga maklum program berkenaan tidak dilaksana dan gagal melapor pemberian sogokan itu kepada SPRM.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut pada bulan November 2019 di PPD Tangkak. Atas perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.

Peguam kedua-dua tertuduh, Hazza Khalid memohon mahkamah memberikan jaminan rendah kepada kedua-dua tertuduh yang turut menanggung keluarga masing-masing.

Mahkamah kemudian menetapkan Abd. Razak dan Muhammad Faizal diberikan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri di pejabat SPRM Segamat sebulan sekali.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 19 Januari depan untuk sebutan semula kes dan penyerahannya dokumen berkaitan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya