PASIR MAS: Dua pengedar dadah warga Thailand diberkas anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Rahmat Lubok Setol, Rantau Panjang semalam.
Dalam serbuan pukul 10.30 pagi itu, PGA turut merampas sepucuk pistol jenis S&W.38 dan 164 biji pil yaba selepas menahan kedua-dua suspek yang berusia 20 dan 30-an itu.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, semasa serbuan itu dilakukan berlaku pergelutan dengan suspek sehingga menyebabkan anggota PGA mengalami kecederaan di bahagian dahi.
Menurutnya, selain pistol dan pil yaba PGA turut merampas 25 biji peluru hidup hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan di dalam rumah berkenaan.
“Nilai rampasan pil yaba itu dianggarkan berjumlah RM1,640. Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek sudah dua tahun terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Pada masa yang kedua-dua suspek sudah menyewa rumah berkenaan selama dua tahun,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, hasil soal siasat yang dilakukan mendapati suspek memiliki pistol tersebut dengan tujuan untuk mempertahankan diri.
Katanya, suspek mempunyai sejarah lampau ia itu pernah ditembak akibat dendam satu ketika dahulu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8a Akta Senjata Api 1960, Seksyen 332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
“Bukan itu sahaja, mereka turut disiasat dibawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(3) ADB 1952,” ujarnya-UTUSAN