HULU TERENGGANU: Dua beradik bersama seorang sepupu mereka terpaksa ‘berpantang’ khatan di pusat pemindahan sementara (PPS) setelah rumah datuk mereka di Kampung Kuala Ping dilanda banjir, di sini hari ini.
Muhamad Wazin Mohd. Yusof, 11, dan adiknya, Muhammad Wazini, 9, serta Mohamad Khaifariz Baharin,10, yang baharu berkhatan kelmarin kini dijaga datuk serta nenek mereka di PPS Masjid Assyakirin Kuala Ping di sini.
Menurut datuk mereka, Isa Kasim, 72, ketiga-tiga cucunya itu berkhatan di sebuah klinik di Ajil dan keluarga masing-masing berada di Bukit Mentok, Kemaman serta Kampung Lerek, Hulu Terengganu.
“Cucu-cucu pakcik hendak habiskan pantang dan cuti sekolah bersama pakcik dan nenek mereka, Timah Husin, 71. Tidak sangka pula banjir, terpaksalah mereka berpantang sunat di PPS.
“Mujurlah pasukan penyelamat datang ambil mereka untuk berpindah. Paras air kali ini naik begitu cepat, lebih teruk daripada kejadian banjir besar tahun 2014.
“Pakcik sendiri tidak sempat mengemas barang-barang kerana sebelum ini rumah tidak pernah dinaiki air tetapi kali ini senario berlainan. Mujurlah kami semua selamat berpindah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Isa yang mempunyai 11 anak dan 22 cucu berkata, laluan ke kampung tersebut turut terputus akibat banjir yang melanda sehingga menyukarkan anak menantunya datang mengambil anak-anak mereka.
Katanya lagi, selain isteri, dua anaknya iaitu Mohd. Hilmi dan Azizul Hakimi, 27, masih tinggal bersamanya di rumah.-UTUSAN