SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) hari ini menunaikan hasrat dan impian seorang kanak-kanak sindrom down dan penghidap leukimia, Ahmad Akif Mohd. Amri, 8, untuk menjadi seorang anggota bomba.
Ia menerusi program yang dikendalikan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Make-A-Wish Malaysia.
Ibu kanak-kanak itu, Siti Nurul Ain Roslan, 35, berkata, Ahmad Akif merupakan anak kedua daripada empat beradik telah menghidap sindrom down sejak lahir dan disahkan pula menghidap leukemia sejak enam bulan lalu.
Dia menambah, anaknya itu ada memberitahu mahu menjadi seorang anggota bomba dan menaiki jentera agensi berkenaan.
“Pihak Make-A-Wish telah melawat Ahmad Akif di hospital dan memberi tahu akan merealisasikan impian anak saya untuk menjadi anggota bomba.
“Alhamdulillah hari ini Ahmad Akif terpilih. Terima kasih pihak Make-A-Wish dan bomba yang melayan anak saya, Ahmad Akif nampak seronok ketika cuba memadam kebakaran dan berpeluang pula memanjat tangga jentera,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Senawang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Siti Nurul Ain yang merupakan seorang suri rumah memberitahu, Ahmad Akif yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seremban Jaya itu pada mulanya mengalami masalah jalan senget sejak enam bulan lalu.
Tambahnya, bimbang sesuatu yang serius, dia terus membawa anaknya itu mendapatkan rawatan ke hospital.
“Apabila doktor mengambil ujian darah, mereka maklumkan sel darah putih agak tinggi dan Ahmad Akif terus dihantar ke unit kecemasan.
“Dia kemudian disahkan menghidap kanser darah atau leukemia dan mendapatkan rawatan penuh di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM di Kuala Lumpur sehingga kini. Alhamdulillah, keadaannya semakin baik malah sel kansernya juga telah tiada dan kini mula menjalani rawatan pemulihan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Saiful Nazri Mohd. Nor berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat membantu merealisasikan impian kanak-kanak itu.
“Kami mengajar Ahmad Akif cara memadam kebakaran, bergambar di tangga jentera dan menjalankan aktiviti mewarna bersama dia dan adik beradiknya yang lain.
“Saya harap dan berdoa dia akan cepat sembuh dan diberikan kesihatan seperti sedia kala,” katanya.