RANTAU PANJANG: Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kalbox Lima yang ditenggelami banjir lebih satu meter kembali boleh dilalui oleh semua kenderaan hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati air yang menenggelamkan laluan itu sejak Isnin lalu surut sepenuhnya sekaligus menyaksikan aktiviti penduduk dan urus niaga di zon bebas cukai di sini kembali ‘bernyawa’.
Rata-rata peniaga di kawasan itu dilihat mula membersihkan premis mereka yang sebelum ini ditenggelami banjir bagi memulakan semula operasi.
Penduduk Amirul Rashid, 27, dari Kampung Rantau Panjang mengakui mereka terputus terputus hubungan selama lima hari selepas air menenggelamkan jalan Pasir Mas-Rantau Panjang berhampiran Kalbox Lima.
Menurutnya, laluan yang ditenggelami banjir itu surut sepenuhnya semalam sekaligus membolehkan penduduk keluar untuk mencari barangan keperluan harian di pekan Rantau Panjang.
“Alhamdulillah, situasi ini amat melegakan penduduk selepas lima hari ‘terperangkap’ akibat banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagi peniaga di Pekan Rantau Panjang, Norazimah Abdul Ghani, 30, berkata, orang ramai tidak perlu risau untuk datang membeli belah di pekan Rantau Panjang kerana banjir sudah surut sepenuhnya.
Katanya, rata-rata peniaga sudah berniaga seperti biasa sejak semalam.