KOTA BHARU: Situasi banjir di negeri ini semakin pulih apabila hanya tinggal tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih diaktifkan untuk menempatkan 266 orang mangsa berbanding lima pada sebelah pagi tadi.
Laman sesawang infobencanajkmv2.jkm.gov.my setakat pukul 3 petang tadi memaklumkan kesemua PPS berada di jajahan Pasir Mas.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong menempatkan mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 178 orang, diikuti Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buloh (74) dan SK Banggol Chicha (14).
Kesemua mangsa yang terlibat terdiri daripada 95 buah keluarga.
Semua sungai-sungai utama di negeri ini sudah kembali ke paras normal.
Bagaimanapun, Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras berjaga-jaga walaupun trend menurun.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Tersang, Rantau Panjang hari ini mendapati banjir sudah mulai surut.
Rata-rata penduduk dilihat sudah mulai pulang ke rumah masing-masing untuk melakukan kerja-kerja pembersihan selepas teruk ditenggelami banjir minggu lalu.
Seorang penduduk Rohaya Wan Abdullah, 32, berkata, dia bersyukur banjir yang melanda kampungnya itu sudah mulai surut sekaligus membolehkannya pulang ke rumah.
Katanya, banjir yang melanda pada minggu lalu menyaksikan air mencecah para bumbung rumah.-UTUSAN