KOTA BHARU: Keadaan cuaca yang semakin baik menyaksikan hanya 31 orang mangsa banjir dari jajahan Pasir Mas masih lagi berlindung di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS).
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, setakat pukul 8 pagi ini Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Chicha dan Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buluh merupakan dua PPS yang masih aktif.
“Hanya tinggal 12 keluarga masih berlindung di PPS tersebut. Untuk makluman semua semua sungai-sungai utama di negeri ini sudah kembali semula ke paras normal termasuk Sungai Golok di Rantau Panjang.
“Bagaimanapun, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih berada pada paras amaran walaupun menunjukkan tren menurun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN