KOTA BHARU: Situasi banjir yang melanda sembilan jajahan di negeri ini semakin baik apabila jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan kepada 24,297 orang berbanding 25,131 petang semalam.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata setakat pukul 8 pagi tadi jumlah mangsa itu terdiri daripada 7,623 keluarga.
Menurutnya, Pasir Mas kekal menjadi jajahan paling teruk terjejas apabila melibatkan seramai 13,395 mangsa diikuti Tumpat (4,522 mangsa), Pasir Puteh (4,214 mangsa) dan Bachok (1,119 mangsa).
“Sementara di Kuala Krai 679 mangsa banjir berlindung di PPS, Tanah Merah (154) Kota Bharu (144), Machang (53 mangsa) dan Jeli (17),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain Mohd. Hanif berkata, dua batang Sungai Golok masing-masing di Rantau Panjang dan Kuala Jambu, Tumpat masih melepasi paras bahaya.
Katanya, Sungai Kelantan masing-masing di Tualang (Kuala Krai) dan Kuala Krai berada pada paras berjaga-jaga.-UTUSAN