PASIR PUTEH: Bandar lama Pasir Puteh di sini belum lumpuh dan masih boleh dilalui kenderaan meskipun terjejas banjir ekoran hujan lebat sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria, berkata, bagaimanapun, terdapat beberapa jalan untuk ke bandar ditutup berikutan paras air naik sejak semalam.
Menurut beliau, keadaan bandar lama Pasir Puteh ketika ini lengang apabila beberapa jalan utama ditutup selain penduduk tidak keluar berikutan cuaca masih hujan.
“Bandar lama Pasir Puteh tidak lumpuh seperti yang tular di media sosial. Hanya kawasan kampung sahaja dinaiki air dan pihak penyelamat pelbagai agensi bertungkus-lumus menjalankan operasi menyelamat mangsa.
“Penduduk di kawasan rendah perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara sebelum paras air terus meningkat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zaizul Rizal berkata, laluan utama di Pasir Puteh yang ditenggelami air ketika ini adalah Jalan Kota-Kuala Terengganu, Jalan Gaal (Kilometer 33.5-TNB Gaal) dan Jalan Panggong Tiga Daerah (Kilometer 32 Jalan Kota Bharu- Kuala Terenganu) telah ditutup.
Selain itu, Jalan Gaal-Kampung Bukit, Jalan Pasir Puteh-Gong Kelih (Kampung Surau, Kampung Saring, Klinik Jeram, Kampung Telipot) dan Jalan Pasir Puteh – Semerak turut ditutup untuk laluan kenderaan.
Terdahulu, tular di media sosial maklumat yang mendakwa bandar lama Pasit Puteh lumpuh ekoran banjir dan hujan lebat berterusan.- UTUSAN