Bangunkan tanah adat dengan tanaman kelapa - Utusan Malaysia

Bangunkan tanah adat dengan tanaman kelapa

MUSTAFA KATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau merancang untuk membangunkan tanah adat terbiar di daerah ini dengan tanaman kelapa bagi penghasilan santan serta kelapa muda.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Sembilan, Mustafa Katan berkata, projek berkenaan telah dimulakan sejak tahun 2020 di Pulau Mampat membabitkan tanah seluas 10.52 hektar dengan kelapa jenis Malayan Yellow Dwarf (MYD) yang dijangka mengeluarkan hasil pada tahun hadapan.

Menurutnya, selain itu, tanaman kelapa jenis Sungai Gulang-Gulang (SGG) turut diusahakan di Semerbok di sini membabitkan keluasan tanah yang saman.

Tambahnya, satu lagi projek baharu akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini membabitkan keluasan tanah lebih 38 hektar di Batang Nyamor bagi jenis kelapa yang sama.

“Kami berhasrat untuk memajukan tanah adat yang terbiar, bagaimanapun jumlah keluasan tanah yang bakal diusahakan adalah bergantung kepada kebenaran pemilik tanah adat tersebut.

“Lagi banyak tanah yang diperoleh lagi banyak kami boleh usahakan. Kami mahu tukar daripada tanaman kelapa sawit kepada tanaman kelapa berdasarkan rekod baik harga kelapa yang tidak pernah jatuh.

“Usaha ini juga akan menurunkan kadar kebergantungan negara terhadap eksport kelapa yang dianggarkan sebanyak 200 juta biji kelapa setahun. Selain itu, tanaman yang diusahakan ini hasilnya bermula dari kelapa muda dan santan malah kami juga berhasrat mahu mengusahakan nira kelapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Hari Bertemu Pelanggan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rembau di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mustafa yang turut merupakan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kawasan Rembau menambah, daerah ini juga akan dijadikan sebagai projek rintis bagi tanaman kelapa PPK tersebut.

“Sekiranya usaha berkenaan berjaya, tanaman kelapa di daerah in dijangka mampu menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1,000 bagi satu hektar,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) khususnya di Negeri Sembilan memainkan peranan yang penting dalam memastikan tanah-tanah adat dapat diusahakan dengan projek seperti tanaman kelapa.

“Negara kini membeli kelapa dari Indonesia. (Bekalan) kelapa tidak cukup terutamanya pada musim perayaan, sebelum ini di Teluk Intan (Perak) dan Sabak Bernam (Selangor) banyak usahakan tapi makin kurang kerana digantikan dengan tanaman kelapa sawit.

“Permintaan kelapa bertambah banyak banyak tapi ladang-ladang kelapa semakin kurang. Jadi jangan biarkan tanah kita terbiar dan hubungilah LPP,” kata beliau.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya