KANGAR: Kerajaan negeri baharu di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) buat pertama kalinya membentangkan Bajet 2023 dengan memperuntukkan sebanyak RM293.36 juta.
Sebanyak RM180.41 juta meliputi 61.50 peratus diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus manakala RM112.95 juta membabitkan 38.50 peratus disediakan bagi tujuan pembangunan.
Bajet 2023 yang bertemakan ‘Merangka Perubahan, Menjana Kestabilan, Mendepani Cabaran’ itu dibentangkan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, Bajet 2023 akan memberi penekanan kepada tiga teras utama iaitu Peningkatan Ekonomi Melalui Pelaburan, Peningkatan Kualiti Hidup Rakyat dan Pembangunan Negeri Yang Mapan.
“Bagi anggaran hasil pula, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM112.23 juta yang meliputi beberapa komponen seperti hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil.
“Dengan anggaran ini, kerajaan negeri diunjurkan mengalami defisit RM68.18 juta pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak RM0.84 juta atau 1.25 peratus berbanding RM67.34 juta pada tahun 2022,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, prestasi ekonomi Perlis juga mencatatkan pertumbuhan semakin positif pada tahun 2021 dengan mencatatkan peningkatan pada kadar 1.5 peratus berbanding tahun 2020.
Katanya, beberapa sektor menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri melibatkan perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
“Sektor utama yang menyumbang kepada KDNK Perlis adalah perkhidmatan yang merekodkan nilai berjumlah RM4.1 bilion mewakili 70.2 peratus daripada keseluruhan KDNK,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri komited untuk meneruskan pelaksanaan projek berimpak tinggi yang mampu mengubah landskap ekonomi dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri.
Tambahnya, usaha untuk meningkatkan pelaburan melibatkan projek berimpak tinggi akan terus dipergiatkan bagi memastikan negeri ini mampu berdaya tahan dalam ketidaktentuan ekonomi pada masa kini.
“Ini membolehkan Perlis menjadi negeri lebih kompetitif bagi menarik masuk pelaburan yang berpotensi serta mampu menjana ekonomi buat rakyat,” katanya. –UTUSAN