KANGAR: Seramai 32 orang atlet Perlis yang merekodkan pencapaian cemerlang sewaktu Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 di Kuala Lumpur pada September lalu menerima insentif kerajaan negeri.
Pada penganjuran temasya itu, kontinjen Sukma Perlis berjaya membawa pulang enam pingat emas, tujuh perak dan 10 gangsa menerusi sembilan acara sukan.
Pengerusi Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, jumlah keseluruhan pemberian insentif berkenaan adalah bernilai RM144,000 untuk diberikan kepada atlet, jurulatih dan penyelaras sukan yang berjaya menyumbangkan pingat dalam kejohanan tersebut.
“Walaupun Perlis tidak berjaya mencapai sasaran ditetapkan namun para atlet dan jurulatih telah menunjukkan komitmen yang baik bagi membawa nama negeri ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Atlet Perlis di Dewan Bankuet Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Anuar Abidin.
Dalam majlis sama, Muhammad Azmir turut berkesempatan menyerahkan insentif kemenangan tambahan berjumlah RM3,000 kepada atlet para olahraga, Datuk Abdul Latif Romly yang membawa pulang pingat emas sewaktu Kejohanan Para ASEAN Ke-11 dalam acara lompat jauh.
Turut menerima insentif tambahan berjumlah RM5,000 adalah atlet boling padang negara, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman yang membawa pulang pingat Perak sewaktu temasya Sukan Komenwel Ke-22 Birmingham baru-baru ini.
Selain itu, seramai sembilan orang atlet para Sukma juga menerima insentif kemenangan selepas membawa pulang lapan pingat emas, lima perak dan dua gangsa menerusi tiga acara sukan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM80,500.
Dalam pada itu, Muhammad Azmir berkata, Perlis juga turut mensasarkan 20 pingat emas pada temasya Sukma akan datang menerusi beberapa langkah yang akan dilaksanakan selepas ini.
“Saya juga telah mendengar pembentangan Pelan Pembangunan Sukan Negeri 2022-2026 sebelum ini bagi melihat pengisian modul yang lebih bersesuaian buat para atlet,” katanya.
Tambahnya, terdapat beberapa kategori sukan yang dikenal pasti berpotensi membawa kecemerlangan buat negeri Perlis antaranya seperti olahraga, angkat berat, boling padang, sepak takraw dan beberapa lagi.
“Kita juga turut merancang bagi menganjurkan Anugerah Sukan Perlis yang dijangka berlangsung pada awal tahun hadapan sebagai penghargan buat atlet negeri ini,” katanya.-UTUSAN