KESAKITAN ditanggung gara-gara kecederaan kaki yang dialami ketika bermain badminton tujuh tahun lalu tidak mematahkan semangat bakat baru, Aryan Naim, 25, untuk menjadi pelakon.
Bakat yang dicungkil menerusi program Hero Remaja 2021 ini mahu membuktikan kemahuan dan minat yang mendalam terhadap bidang lakonan mengatasi segala-galanya.
“Kecederaan ini berlaku ketika saya bermain badminton pada tahun 2016. Ia kecederaan berat yang mengakibatkan gangguan saraf bagaimanapun tidak memerlukan pembedahan.
“Saya akan rasa sakit kalau pergerakan saya terlalu agresif. Keadaan ini membuatkan saya perlu berhati-hati lebih-lebih lagi kalau melakukan aktiviti lasak,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon kelahiran Negeri Sembilan ini tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk menolak sebarang watak lasak.
“Saya akan pertimbangkan sekiranya ditawarkan watak yang memerlukan keupayaan fizikal. Saya pernah melakukannya ketika berusia 21 tahun.
“Saya tidak ada masalah untuk melakukan aksi lasak, babak pergaduhan dan sebagainya kerana aksi tersebut ada koreografi dan latihannya,” katanya.
Bercakap soal inspirasi, jejaka berketinggian 173 sentimeter (cm) ini menjadikan pelakon berpengalaman, Zulhuzaimy sebagai idola dalam bidang tersebut.
“Bagi saya, Zul merupakan seorang pelakon yang hebat kerana mampu menunjukkan emosi dalam lakonan tanpa berlebihan dalam pergerakan tubuh.
“Saya memang bercadang untuk menuntut ilmu dengan beliau bagaimanapun hasrat tersebut masih belum tercapai sehingga kini,” katanya yang belum pernah bertemu dengan pelakon tersebut.
Sementara itu, bercakap soal reaksi ibu bapa terhadap pembabitannya dalam bidang lakonan, lulusan Diploma Perniagaan Antarabangsa Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ini memaklumkan, pada awalnya, kedua-dua orang tuanya tidak menjangka dia akan memilih bidang tersebut untuk menjadi kerjaya.
“Mereka tidak menghalang, bagaimanapun tidak berapa bersetuju saya menjadi pelakon. Dalam tempoh lima tahun, saya perlu membuktikan bahawa kerjaya ini stabil untuk saya.
“Dalam masa yang sama, latar belakang pendidikan saya tidak menjadi sia-sia dan saya masih boleh kaitkannya dengan kerjaya sekarang yang mana juga berkait rapat dengan soal pemasaran dan penjenamaan Aryan Naim ini,” ujarnya.
Infografik:
Nama: Muhammad Naim Zamri
Nama pentas: Aryan Naim
Umur: 25 tahun
Pendidikan: Diploma Perniagaan Antarabangsa, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam
Tinggi: 173 cm
Idola lakonan: Zulhuzaimy