KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar diesel bersubsidi bernilai RM16,000 menerusi penahanan sebuah bot nelayan kelas C di perairan Kuala Perlis, malam tadi.
Sejumlah kira-kira 8,000 liter diesel turut dirampas dalam operasi berkenaan menerusi penahanan bot itu pada pukul 8.13 malam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya menahan bot itu pada kedudukan 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis hasil daripada risikan dan intipan dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP).
“Ketika pemeriksaan dilakukan, bot terbabit dikendalikan oleh seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan yang berumur lingkungan 22 hingga 38 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati bot itu telah diubah suai dengan menambah ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Thailand,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hashim berkata, jumlah keseluruhan rampasan menerusi penahanan itu termasuk beberapa aset lain seperti bot, enjin dan diesel dianggarkan sekitar RM216,000.
Katanya, suspek dan barang rampasan turut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi,” katanya.
Tambahnya, APMM turut menyeru orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan agar dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan diesel bersubsidi.
“Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya.-UTUSAN