KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepati janjinya sebelum ini apabila mengurangkan saiz Kabinet daripada 31 kepada 28 Jemaah Menteri.
Dalam senarai Kabinet yang diumumkan malam tadi, kerajaan perpaduan itu terdiri daripada 15 pimpinan Pakatan Harapan (PH) dengan pecahannya PKR (lapan), Parti Amanah Negara (dua), DAP (empat) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (satu).
Sementara itu, enam wakil Menteri Barisan Nasional (BN) didominasi UMNO, dua Gabungan Rakyat Sabah (GRS), empat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seorang teknokrat.
Dalam Kabinet Anwar turut menyaksikan empat anggota Jemaah Menteri dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Negara.
Mereka adalah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (Menteri Luar) dan Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (Menteri Agama).
Ini berikutan mereka tewas ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) manakala Mohd. Na’im sebelum ini adalah Ketua Hakim Syarie.- UTUSAN