SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai kekuatan dan keanggotaan yang mencukupi bagi menghadapi bencana banjir di negeri-negeri di Pantai Timur selain operasi bencana tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, seramai 18,053 orang anggota bomba termasuk melibatkan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dikerahkan ketika ini untuk kedua-dua tugasan tersebut
“Kesiapsiagaan kami telah bermula pada November 2021 melihat kepada luruan monsun ini yang berlaku dan beberapa kejadian kepala air serta cerun runtuh. Kesiapsiagaan anggota diteruskan pada tahun ini,
“Oleh kerana terlalu banyak kejadian bencana, pihak bomba telah membekukan dan mencatu cuti mereka (anggota) ini sepanjang tahun termasuk pada hari perayaan.
“Jumlah keanggotaan yang berada di operasi tanah runtuh di Batang Kali dan bantuan respon negeri Pantai Timur mencukupi dan kami akan fokus pada peringkat ini, sumber manusia adalah mencukupi termasuk bantuan daripada keanggotaan dari negeri yang berdekatan,” katanya..
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke JBPM Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Mohammad Hamdan menyampaikan penganugerahan pingat perkhidmatan bomba kepada pegawai dan anggota bomba di negeri ini yang menunjukkan prestasi cemerlang.
Seramai tujuh orang pegawai dan anggota menerima Pingat Cemerlang Bomba (PCB) dan 13 Pingat Setia Bomba (PSB) serta sijil perkhidmatan selama 30 tahun kepada empat orang anggota.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan Hero Bomba kepada remaja, Muhammad Zulfikal Asmadi, 14, yang menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak perempuan hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu pada 16 Disember lalu.
Sementara itu, Mohammad Hamdan menjelaskan, pihaknya juga akan memastikan aset darat dan laut agensi itu mencukupi bagi menghadapi musim tengkujuh yang turut menyebabkan berlakunya banjir.
“Pasukan breakdown team daripada bahagian kejuruteraan mekanikal akan sentiasa memantau jentera aset darat dan aset laut mencukupi.
“Oleh kerana keadaan di Pantai Timur agar teruk jadi kami telah meletakkan aset udara di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wakaf Tapai dan Bachok, Kelantan bagi memastikan masa respon lebih pantas,” katanya.-UTUSAN.