MACHANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu memindahkan seorang wanita warga emas yang menghidap sakit tua selepas rumahnya di Kampung Bakat di sini terjejas banjir hari ini.
Munah Mat Amin,86, diusung menggunakan pengusung untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Hamzah (1).
Pegawai APM Machang, Razman Ramli berkata, pihaknya membantu memindahkan mangsa kira-kira pukul 8.30 pagi tadi selepas rumahnya dinaiki air separas pinggang.
Menurutnya, seramai lima anggota terlibat dalam operasi menyelamat tiga keluarga yang membabitkan 10 mangsa termasuk warga emas.
“Anggota APM memindahkan mangsa dengan menggunakan bot ekoran paras air yang meningkat naik selepas hujan lebat berterusan sejak semalam.
“Warga emas itu bersama keluarganya kemudian menaiki trak APM ke PPS SK Hamzah 1,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my setakat pukul 3 petang tadi melaporkan, dua PPS dibuka di Machang iaitu di SK Hamzah (1) dan SK Dewan Besar.
PPS SK Hamzah (1) menempatkan 84 mangsa daripada 24 keluarga dan PPS SK Dewan Besar pula 207 mangsa membabitkan 48 keluarga.-UTUSAN