ARAU: Menteri Besar Perlis Keempat, Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh tidak mahu menyambung rawatan dialisisnya sejak seminggu lalu bagi meluangkan hari-hari terakhir bersama ahli keluarga.
Anak bongsunya, Muhd. Jamal Pawanteh Abdul Hamid, 37, berkata, sejak tidak menjalani dialisis, keadaan allahyarham Abdul Hamid semakin kritikal kerana penyakit buah pinggang dihidapinya sejak tahun lalu.
Muhd. Jamal berkata, ahli keluarga juga menuruti kehendak Allahyarham yang tidak mahu meneruskan rawatan dialisis dan cuba meluangkan masa berharga bersama arwah.
“Sebelum ini Allahyarham melakukan dialisis di Kompleks Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) tetapi kini memilih berehat di rumah.
“Semua ahli keluarga dapat datang menziarahi Allahyarham sebelum menghembuskan nafas terakhir malah kami anak beranak juga sentiasa berada disampingnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Syed Hassan, di sini, hari ini.
BALU
Allahyarham Abdul Hamid, 78, meninggal dunia pada pukul 3.15 petang semalam dengan meninggalkan balu, Puan Sri Elham Hamid Abdullah bersama lima anak.
Allahyarham Abdul Hamid adalah Menteri Besar Perlis Keempat bermula pada tahun 1986 sehingga 1995 dan pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Negara Ke-14 bermula pada tahun 2003 sehingga 2009.
Sepanjang pembabitan dalam karier politik, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Arau (1982-1986) dan Ahli Parlimen Kangar (1999-2003).
Sementara itu, anak keempat Allahyarham, Muhd. Sharif Pawanteh Abdul Hamid, 39, berkata, bapanya seorang yang positif walaupun terpaksa menanggung penyakit kritikal dan menganggapnya hanya sebagai satu cabaran.
Tambahnya, Allahyarham juga merupakan seorang yang pemurah dan amat menyayangi semua pihak yang membantu dalam rawatannya seikhlas hati.
“Sewaktu menjalani rawatan dialisis, Allahyarham sentiasa menyantuni jururawat dengan membawa buah tangan kepada mereka sebagai penghargaan,” katanya.- UTUSAN