Air Sungai Ketil di Gua Musang tenggelamkan jambatan besi - Utusan Malaysia

Air Sungai Ketil di Gua Musang tenggelamkan jambatan besi

JAMBATAN bes Kampung Kerinting merentasi Sungai Ketil ditenggelami banjir di Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hujan berterusan lebih 24 jam menyebabkan jambatan besi Kampung Kerinting merentasi Sungai Ketil dan menghubungkan Bandar Lama di sini tenggelam hari ini.

Mengikut laporan di Facebook, Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang, jalan berkenaan ditutup sejak pukul 9 pagi tadi apabila dinaiki air 0.2 meter dan ditutup kepada semua kenderaan.

Seorang pengguna jalan itu, M. Selvan, 45, berkata, hujan berterusan sejak semalam menyebabkan paras air Sungai Ketil meningkat.

Katanya, air sungai berkenaan melimpah naik ke atas jambatan hingga menghalang kenderaan untuk melaluinya.

“Kejadian air sungai melimpahi tebing itu kerap berlaku apabila hujan lebat. Saya yang dalam perjalanan dari rumah di Kampung Kundur untuk ke bandar Gua Musang terhalang dengan limpahan air sungai itu. Saya terpaksa berpatah balik dan melalui jalan di Bandar Baru,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Mohamad Ismail, 58, berkata, jambatan itu mudah tenggelam apabila hujan lebat berterusan.

“Kita menjangkakan jambatan ini terus tenggelam sekiranya cuaca hujan masih berterusan.

“Penduduk sentiasa berdepan masalah apabila paras air Sungai Ketil meningkat sehingga menyebabkan jambatan tenggelam kerana kedudukannya yang rendah,” katanya. 

Sementara itu, menurut laman web rasmi Public Info Banjir Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, tiga sungai di daerah ini masih berada pada paras normal meskipun hujan berterusan.

Sungai Galas di Kampung Pulai menunjukkan bacaan 105.79 meter, Sungai Galas (Kampung Lembaga) merekodkan bacaan 83.01 meter dan Sungai Lebir (Kuala Koh) dengan 65.54 meter.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN