KANGAR: Wakil tunggal pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis berhasrat untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri demi kebaikan rakyat secara keseluruhan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, beliau mengakui akan berdepan kekangan sekiranya bergerak solo dan disebabkan itulah kerjasama itu diperlukan bagi membawa perubahan kepada negeri ini.
Menurut Ay Ling, walaupun beliau menjadi pembangkang tunggal di DUN negeri ini, pihaknya terbuka untuk bekerjasama secara harmoni tanpa mengira fahaman dan ideologi politik.
“Peranan saya sebagai pembangkang di Perlis adalah bertujuan untuk membawa perubahan positif buat rakyat.
“Saya harap kita mesti mencari jalan penyelesaian dan membuat semakan tentang pentadbiran semasa kerajaan terdahulu bagi membawa perubahan,” katanya kepada pemberita selepas pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis Ke-15 di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ay Ling menjadi satu-satunya wakil tunggal Pakatan Harapan (PH) yang menang di Perlis selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Indera Kayangan.
Baki 14 lagi kerusi DUN lain dimenangi Perikatan Nasional (PN) yang turut menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN) lebih 60 tahun di negeri ini.
Dalam pada itu, Ay Ling berkata, terdapat banyak perkara perlu diberikan perhatian oleh kerajaan antaranya melibatkan pembangunan ekonomi, masalah infrastruktur dan isu bekalan air dihadapi rakyat.
“Perbincangan secara terbuka dan ruang kerjasama perlu diperbanyakkan antara pembangkang dan kerajaan negeri berbanding hanya menuding jari antara satu sama lain.
“Kita tak perlu bazirkan masa dan lebih baik kedua-dua pihak fokus mencari penyelesaian terhadap permasalahan dihadapi rakyat,” katanya.
Tambah Ay Ling, beliau juga berkeyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk menunaikan manifesto PH bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat negara ini.
“Kerajaan Persekutuan buat masa ini juga sedang bertungkus-lumus untuk melakukan penyusunan semula dalam pentadbiran secara keseluruhan bagi mewujudkan struktur yang lebih baik demi manfaat rakyat secara menyeluruh,” katanya.- UTUSAN