3 usahawan kraf dianugerah Adiguru Kraf 2022

3 usahawan kraf dianugerah Adiguru Kraf 2022

SARAYA Arbi (lima dari kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Adiguru Kraf Salbiah Muhi (tiga dari kiri) Emmilianah Dahun (kanan) dan Crisna Mojupi (tiga dari kanan) Sempena Majlis Perasmian Festival Kraf Johor (FKJ) di Angsana Mall, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga usahawan kraf dipilih dan diangkat seba­gai Adiguru Kraf 2022 bagi meng­hargai ilmu serta kepakaran ting­gi khususnya dalam bidang pen­ciptaan kraf berasaskan tekstil sulaman.

Adiguru yang dilantik terdiri daripada Salbiah Muhi, 71, yang dilahirkan di Kuching merupakan pakar dalam Sulaman Keringkam yang diwarisi ibu dan neneknya ketika berusia 17 tahun.

Menurut Salbiah, Sulaman Keringkam merupakan kraf tradisional yang diilhamkan dari Bumi Kenyalang, Sarawak khususnya bagi masyarakat Melayu dan Melanau sebagai selendang atau tudung khas untuk kaum hawa.

“Secara tradisi, sulaman ini dihasilkan dengan menggunakan teknik tikam tembus dan kiraan urat olahan benang yang bermotifkan gunung beranak, halwa dan flora dengan menggunakan kain kasa, benang emas atau perak.

“Keunikan sulaman ini diambil kira melalui kehalusan dan keseimbangan reka corak pada motif yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui pada Festival Kraftangan Johor (FKJ) di Angsana Mall, di sini baru-baru ini.

Crisna Mojupi yang kini meniti usia 53 tahun pula merupakan Adiguru kedua yang terpilih kerana kemahirannya dalam kraf Sulaman Pis yang mula berjinak seawal usia 11 tahun.

Ujar wanita kelahiran Kudat, Sabah itu, Sulaman Pis merupakan seni kraf tradisional suku Rungus di Negeri Dibawah Bayu yang turut menggunakan teknik tebuk tembus.

Jelasnya, sulaman ini secara tradisinya digunakan untuk menghasilkan mahkota bagi kaum lelaki iaitu sigal atau tanjak yang disulam dengan pelbagai corak motif termasuklah inandaha, tinonggiling, tinabid sulug serta bunga.

Sementara itu, Emis@Emmilianah Dahun, 46, yang menghasilkan Sulaman Linangkit yang terkenal dalam kalangan masyarakat Dusun di Sabah pula dipilih Adiguru ketiga dalam kategori sama.

“Sulaman ini dihasilkan sebagai penghias pakaian tradisional kami iaitu masyarakat Dusun yang mana dijahit menggunakan pengeras kain di sebelah kiri dan kanan.

“Kraf sulaman ini dijahit pada titik permulaan sulaman yang bersambung dengan tulang kain di sebelah kiri dan kanan yang bermotifkan olahan rekaan corak geometrik bersudut,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya