ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) akan membangunkan 21,139 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebagai permulaan, sebanyak 1,967 unit RMMJ bakal dibangunkan pada tahun depan melibatkan beberapa daerah iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Kulai dan Tangkak.
Menurutnya, PKPJ turut memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan pemberian baucar RM1,000 kepada pembeli RMMJ yang akan diberi kepada pembeli mengambil kunci rumah yang sedia untuk diduduki.
“Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM30 juta bagi pembangunan 216 unit Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di Mersing menerusi kerjasama PKPJ, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI) dan Yayasan Sultan Ibrahim.
“Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM5 juta bagi pembinaan 50 unit rumah Rumah Kasih Johor untuk golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut merencanakan pelbagai inisiatif bagi membolehkan seluruh lapisan masyarakat memperoleh kediaman sendiri selari dengan hasrat menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.
Antara inisiatif itu termasuk pembelian dua projek perumahan secara ‘en bloc’ melibatkan 216 unit rumah di Bandar Putra, Kulai dan 100 unit rumah di Taman Laman Indah, Iskandar Puteri untuk Program Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) dengan peruntukan RM14 juta.
“Kita turut memperuntukkan RM1.58 juga bagi pembelian 30 unit rumah di Pangsapuri Aman Larkin 1 untuk ditawarkan secara ‘Rent to Own’ kepada rakyat yang mempunyai masalah kewangan untuk memiliki rumah.
“YPJ Holdings juga akan menyempurnakan pembangunan 300 unit rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Taman YPJ Punggai, Pengerang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya memperuntukkan RM96.92 juta bagi pelaksanaan inisiatif termasuk membaik pulih pangsapuri dan flat awam, melaksanakan kerja penyelenggaraan serta pembaikan kecemasan di 13 PPR dan tujuh RSK dan pelaksanaan kerja baik pulih 160 unit rumah usang dan rosak yang didiami golongan miskin dan miskin tegar Johor.
Bagi memastikan setiap kediaman yang disediakan berkualiti, Onn Hafiz memaklumkan kerajaan negeri akan memberi penekanan terhadap kualiti rumah dengan menetapkan syarat standard ‘QLassic’ sebagai garis panduan dan spesifikasi pembinaan RMMJ.
“Penetapan QLassic ini adalah sebagai kaedah untuk mengukur dan menilai kualiti berdasarkan ‘Construction Industry Standard’ (CIS 7:2014),” tambahnya. –UTUSAN