KOTA BHARU: Situasi banjir di negeri bertambah baik apabila jumlah mangsa semakin menurun kepada 17,298 orang pagi ini berbanding 19,213 petang semalam susulan keadaan cuaca kembali cerah.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana negeri setakat pukul 8 pagi tadi, hanya lima jajahan yang masih lagi terkesan dengan bencana banjir iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok dan Pasir Puteh.
Jumlah itu terdiri daripada 5,769 keluarga yang masih berlindung di 48 PPS di jajahan terlibat.
Bagaimanapun, Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 12,066 orang diikuti Tumpat (3,886), Pasir Puteh (690), Bachok (552) dan Tanah Merah (104).
Dua batang Sungai Golok masing-masing di Rantau Panjang dan Kuala Jambut (Tumpat) masih melepasi paras bahaya walaupun menunjukkan tren menurun.
Lain-lain sungai semua kembali ke paras normal kecuali Tangga Krai di Kuala Krai masih berada pada tahap berjaga.-UTUSAN