16 tahun hadap bunyi bising, pencemaran udara akibat kuari

16 tahun hadap bunyi bising, pencemaran udara akibat kuari

PEMANDANGAN udara kuari yang menjejaskan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong (HSKBL) yang dirakamkan berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan dalam tinjauan susulan penerokaan hutan simpan kekal tersebut di sini, hari ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Lebih 1,000 penduduk rumah teres setingkat Taman Matang Jaya di sini terpaksa berdepan pencemaran bunyi dan udara selama 16 tahun berikutan aktiviti kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong.

Biarpun penduduk di sini mengakui sudah lali, namun apa yang lebih membimbangkan adalah aktiviti tersebut semakin hebat sejak lapan tahun kebelakangan ini.

Malah penduduk mendakwa, mereka bukan sahaja terkesan disebabkan kira-kira tujuh kuari yang dipercayai wujud berhampiran kawasan ini, tetapi dalam masa sama disebabkan kewujudan kilang haram yang berkaitan pembuatan batu bata dan kayu balak.

Dianggarkan lebih 300 lori muatan besar berulang-alik setiap hari di laluan masuk aktiviti tersebut yang berdekatan dengan perumahan di sini, menyaksikan pertambahan berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Hisham, 50-an, mendakwa, aktiviti yang berlaku di kawasan berhampiran perumahan di sini sudah banyak kali disuarakan kepada pihak berkuasa terutamanya kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras.

Dakwanya, ini kerana aktiviti tersebut semakin hari semakin rancak sehingga mengganggu kehidupan penduduk di sini terutamanya berkaitan pencemaran dan jalan yang rosak teruk.

“Sebelum kami beli rumah ini, memang sudah ada aktiviti ini. Masa mula duduk dulu, aktiviti di sini tak sehebat sekarang.

“Satu hari itu kita boleh lihat dalam 300 buah lori ulang masuk, dulu lori pendek sahaja, sekarang makin panjang, sudah macam treler. Dalam itu bukan setakat buat batu (kuari), banyak kilang haram buat batu bata, kayu balak sebab itu penuh lori.

“Malah, sebelum ini Sabtu dan Ahad tak ada aktiviti pun, sekarang ini hari-hari ada, Sabtu dan Ahad pun ada bunyi bom, kadang-kadang satu hari sampai lima kali bom.

“Terbaharu hari Ahad lepas, bunyi bom sangat kuat, sampai bergegar habis rumah. Tetapi rumah di sini memang kebanyakannya sudah retak, dengan mozek banyak yang sudah tertanggal,” dakwanya ketika ditemui di sini.

Semalam, akhbar ini mendedahkan, aktiviti penerokaan Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong (HSKBL) bagi kerja-kerja kuari menyebabkan hutan simpan di negeri ini semakin mengecil.

Lebih menyedihkan, perluasan kawasan kuari didakwa berlaku di Bukit Lagong melibatkan lapan buah syarikat yang diberikan lesen oleh kerajaan negeri.

Malah, 19 lagi syarikat didakwa bakal menyertai aktiviti kuari itu yang beroperasi sejak 20 tahun lalu menyebabkan perluasan pembersihan hutan sehingga 880 hektar.

Hal tersebut dikhuatiri menyebabkan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) tahap satu itu terputus litupannya yang bersambung dengan hutan bahagian tengah Semenanjung atau Central Spine Forest (CSF).

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Amin, 55, pula mendakwa, penduduk di sini tidak menolak kemajuan atau apa sahaja aktiviti yang dilakukan di hutan simpan di sini.

Namun dakwanya, mereka berharap pihak yang bertanggungjawab terutamanya syarikat yang menjalankan aktiviti itu dapat menjaga kemudahan asas dan tetap bertimbang rasa terhadap penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Kita sebenarnya bukan menentang kemajuan, tetapi perkara asas kena jaga iaiatu jalan dan hutan. Lantak mereka mahu buat apa pun, tetapi fikirkan sama yang ada penduduk tinggal berdekatan.

“Jalan kawasan ini, sudah macam bendang, dengan berlopaknya, itu tak cerita lagi bab kemalangan dengan lori lagi, hadap sajalah.

“Kita tidak kisah mereka mahu buat projek lantak merekalah, tetapi awal pagi lagi lori beratur sudah macam kereta api. Itu belum cerita bab habis kerja lagi, kalau dulu kata aktiviti sampai pukul 5 petang saja, tetapi sekarang sampai pukul 9 malam pun berbunyi lagi.

“Jadi kita harap kerajaan baru ini boleh bantu, ada perubahan, memang susah cuma kita minta bertimbang rasalah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya