KOTA BHARU: Seramai 31,316 orang mangsa banjir dari lapan jajahan di negeri ini masih lagi ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) susulan rumah mereka masih lagi ditenggelami air.
Sekretariat Pengurusan Bencana negeri setakat pukul 8 pagi tadi melaporkan jumlah tersebut melibatkan 9,006 keluarga.
Jajahan Pasir Mas kekal merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 11,749 orang diikuti Pasir Puteh (5,875), Tumpat (4,131), Kota Bharu (4,074), Kuala Krai (2,618), Bachok (1,554), Tanah Merah (902) dan Machang (373).
Sementara itu, paras Sungai Golok, di Rantau Panjang masih lagi melepasi tanda amaran meskipun menurun kepada 10.53 meter.
Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula terus menaik dan melepasi tanda amaran iaitu 3.64 meter.
Bagaimanapun, laluan ke Rantau Panjang hanya dimasuki menggunakan bot dan lori seberat 20 tan.-UTUSAN