100 kaunselor bantu tenangkan emosi mangsa banjir

100 kaunselor bantu tenangkan emosi mangsa banjir

NANCY Shukri (duduk, dua kiri) berbual dengan Mohd.Nadzir Mohamed bapa kepada tiga beradik yang muat terkena renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, Tumpat, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan seramai 100 kaunselor di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara untuk memberi kaunseling kepada mangsa banjir.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata,  penempatan kaunselor di beberapa negeri yang mengalami musibah banjir itu merupakan satu usaha untuk memberi kaunseling kepada mangsa banjir yang terkesan.

Menurutnya, kaunselor di setiap PPS sentiasa ada untuk memberi berkhidmat kerana kemungkinan terdapat mangsa yang mengalami tekanan emosi.

“Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa yang negatif (respon mangsa di PPS). Mereka dapat menerima ujian tersebut dan kita telah menyediakan perkhidmatan terbaik ketika berada di PPS.

“Mangsa yang berada di PPS tidak mengalami sebarang masalah apabila makan dan minum mereka terjaga malah keadaan persekitaran juga bersih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Zainun Sulaiman, 62, yang merupakan ibu kepada tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak di sini hari ini.

Nancy memberitahu, KPWKM juga menyediakan kaunselor kepada ibu bapa mangsa kejadian itu untuk membantu aspek emosi mereka.

Katanya, kerajaan bersedia memberi khidmat kaunseling pada bila-bila masa kepada keluarga mangsa terutamanya ibu bapa mereka kerana tragedi tersebut amat menyayat hati.

“Kunjungan saya ke rumah mangsa adalah untuk memberi semangat kepada keluarga selain memerhati intervensi atau perkara boleh dilakukan oleh KPWKM.

“Saya lihat ibu bapa mangsa tidak mengalami masalah setakat ini. Paling penting, kita mahu keluarga ini tenang dan terus kuat,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN