Zeti demam, muntah-muntah

Zeti demam, muntah-muntah

DATIN Seri Rosmah Mansor hadir untuk mengikuti perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang dijadualkan memberi keterangan esok dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dapat berbuat demikian ekoran sakit.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan demikian sebelum Mah­kamah Tinggi di sini menangguhkan prosiding hari ini.

“Pagi tadi saya memaklumkan bahawa Tan Sri Zeti akan memberikan keterangan esok. Bagaimanapun sebentar tadi, kira-kira pukul 11.56 pagi, IO (pegawai penyiasat) membe­ritahu saya bahawa Tan Sri Zeti melalui peguamnya menyatakan beliau tidak sihat, muntah-muntah dan demam.

“Beliau juga telah mendapat cuti sakit selama dua hari. Oleh itu, pihak pendakwaan menangguhkan untuk memanggil Tan Sri Zeti ke tarikh perbicaraan yang lain,” katanya.

Terdahulu pada awal prosi­ding, Ahmad Akram memaklumkan mahkamah bahawa Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram juga demam dan telah mendapat cuti sakit selama tiga hari.

Pada prosiding semalam, mahkamah menyambung men­dengar hujah peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang membantah permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan beberapa rakaman audio perbualan dua individu yang mana salah seorang daripada dikatakan ‘kedengaran seperti (suara) Najib’.

Seorang lagi individu yang suaranya kedengaran dalam rakaman itu dipanggil dengan gelaran Yang Mulia (Your Highness).

Dua rakaman audio tersebut sempat dimainkan di mahkamah sebelum ini sewaktu bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah memberi ke­terangan selaku saksi pendakwaan ke-42.

Muhammad Shafee ketika berhujah menyatakan, penerimaan masuk sesuatu rakaman yang dibuat melalui pengintipan panggilan telefon (wire tapping) perlu mematuhi Akta Ke­terangan 1951 yang memerlukan sumber rakaman atau dokumen dikenal pasti.

“Bagi memastikan hak tertuduh (Najib) sebagaimana termaktub dalam Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan, penerimaan masuk rakaman-rakaman melalui intipan (wire tapping) hendaklah selari dengan Akta Keterangan 1950.

“Itu termasuk memastikan bahawa penerimaan masuk bukti atau keterangan yang dihasilkan oleh komputer hendaklah disahkan sumbernya,” kata Muhammad Shafee.

Pada ketika ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah dan bertanya kepada pendakwaan sama ada pihak itu akan memanggil sesiapa untuk membuat pengesahan rakaman audio terbabit.

Ahmad Akram memaklumkan, pihak pendakwaan akan memanggil pegawai penyiasat untuk mengenal pasti setiap rakaman itu.

“Tetapi bukan IO (pegawai penyiasat) yang melakukan ‘wire tapping’ tersebut kan?,”celah Muhammad Shafee.

Menurut Muhammad Shafee, untuk membolehkan rakaman audio itu diterima, rantaian audio dan asal usul serta sejarah rakaman perlu diambil kira oleh mahkamah.

“Saya akan merasa terkejut andai kata pihak pendakwan bersedia untuk menyatakan sumber bagaimana ia diperoleh dengan jelas.

“Saya akan terkejut (kerana ia akan mendedahkan) keadaan di negara ini, berhubung cawangan khas, dari segi kaedah mengintip perbualan telefon individu,” katanya.

Prosiding bersambung esok dengan sesi soal balas terhadap bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya