TUMPAT: Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) bersama ibunya nyaris tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini kerana tiada pengangkutan untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mandol.
Zauyah Deraman, 34, yang cacat kedua-dua belah kaki dan tangan berkata, disebabkan keadaan fizikalnya itu dia tidak dapat keluar melainkan dibantu termasuklah ibunya Fatimah Jusoh, 74, pula sudah uzur.
“Enam adik-beradik saya perantau dan mereka tidak pulang mengundi. Kami yang tiada keupayaan sudah ‘tawar hati’ untuk keluar mengundi.
“Mujurlah ada seorang kawan memberitahu dia sudi membantu saya dan ibu untuk keluar mengundi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zauyah berkata, sebelum ini dia sudah dua hari mencari orang yang sanggup membantu membawanya ke pusat mengundi namun tiada jawapan daripada mereka.
Katanya, dia enggan menggunakan kenderaan e-hailing pada hari pengundian kerana mengharapkan pemimpin cakna.
“Jika hari-hari biasa, saya selalu guna perkhidmatan kereta sewa untuk keluar ke mana-mana terutamanya ke klinik dan pasar.
“Tetapi nak ambil kereta sewa itu untuk mengundi rasa pelik dan membuat keputusan tidak mahu keluar mengundi sehinggalah ada kawan datang membantu,” ujarnya.
Zauyah dan ibunya selesai membuang undi di SK Padang Mandol kira-kira pukul 1 tengah hari.- UTUSAN