KOTA BHARU : Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Pengkalan Chepa, Wan Ahmad Nasri Wan Ismail lebih lebih selesa digelar Yang Berkhidmat berbanding Yang Berhormat jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok.
Wan Ahmad Nasri berkata, dia memilih gelaran tersebut sebagai tanda peringatan atas mandat yang telah diberikan oleh rakyat di kawasan berkenaan.
“Bagi saya kebajikan rakyat adalah perkara paling penting dan perlu diberikan keutamaan dalam apa jua keadaan tanpa mengira simbol parti politik.
“Pada masa yang sama, saya berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan Pengkalan Chepa terutama sebagai hub perkilangan dan pelancongan di negeri ini. Kedua-dua fokus itu boleh bergerak seiring apabila aspek sosioekonomi diuruskan dengan betul dan cekap,” katanya.
Wan Ahmad Nasri memberitahu, selepas negara diancam pandemik Covid-19 banyak kilang ditutup dan boleh dikatakan hanya 10 peratus masih meneruskan operasi.
“Sekiranya mendapat mandat, saya akan mohon geran daripada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kilang-kilang kembali dioperasikan sekaligus membuka ruang kerjaya kepada rakyat terutama anak-anak muda di negeri ini.
“Dalam sudut pelancongan saya mahu membina kembali kawasan pesisir pantai agar lebih cantik sebagai daya tarikan pelancongan. Pemulihan muara sungai juga menjadi perhatian agar ia dapat dipelihara dan disegarkan demi kepentingan sosioekonomi penduduk setempat,” ujarnya.
Pada PRU15, Wan Ahmad Nasri akan ditentang oleh penyandang kerusi berkenaan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pas), Nik Faizah Nik Othman (Pakatan Harapan), Dr. Mohd. Hafiezulniezam Hasdin (Barisan Nasional) dan Mohd. Redzuan Razali (Bebas). – UTUSAN