KANGAR: Golongan mahasiswa perlu menggunakan mandat yang diberikan kepada mereka dengan sebaik-sebaiknya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan memilih calon Barisan Nasional (BN) bagi membentuk sebuah kerajaan stabil demi kemakmuran.
Seorang aktivis mahasiswa, Siti Jamila Syuhada Jailani, 22, berkata, sokongan golongan muda kepada BN kini dilihat meningkat ekoran keyakinan rakyat bahawa gabungan itu mampu membawa kestabilan dan kemakmuran buat negara pada masa hadapan.
Menurut beliau, undi golongan muda adalah penentu bagi masa depan negara yang lebih cerah dan disebabkan itu mereka perlu turun menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian nanti.
“Harapan saya mahasiswa dapat menggunakan mandat mereka dengan sebaiknya bagi memilih BN yang sememangnya menjanjikan kestabilan dan kemakmuran buat negara selepas PRU15,” katanya selepas flash mob bagi memperkenalkan calon BN Parlimen Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya di Jalan Seriab, di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi mahasiswa, Aiman Nadim Joehaimi, 23, berkata, BN cuba mengangkat suara mahasiswa apabila mengetengahkan calon muda bertanding dalam PRU15 antaranya seperti Fathul Bari.
Katanya, langkah BN itu juga mempamerkan persepsi bahawa parti itu sentiasa membawa prinsip yang bersih dalam perjuangan mereka.
“Sudah semestinya suara mahasiswa akan turut diangkat ke peringkat lebih tinggi memandangkan calon dipertaruhkan BN juga banyak daripada golongan muda yang memahami kehendak serta keperluan mereka,” katanya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan menampilkan 70 peratus muka baharu dalam senarai calon parti itu bagi menghadapi PRU15 terdiri daripada individu berkaliber, memiliki kelayakan akademik, selain komitmen tinggi membantu rakyat. – UTUSAN