UMNO parti stabil, bergolak selepas PRU15 - Wan Saiful

UMNO parti tidak stabil, bergolak selepas PRU15 – Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa UMNO dijangka bergolak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika pemilihan parti di samping wujud percaturan oleh pemimpin tertentu untuk menjatuhkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keadaan itu menunjukkan UMNO sebagai sebuah parti yang gagal membawa kestabilan kepada negara sekali gus boleh menyebabkan para pelabur domestik dan asing berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia. 

“UMNO parti yang tidak stabil. Tak mungkin UMNO boleh bawa kestabilan kepada negara kerana mereka sendiri parti tak stabil. Perebutan kuasa dalam UMNO terserlah apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaludin saling menyokong satu sama lain, seolah-olah sedang bersedia untuk menjatuhkan Ahmad Zahid.

“Ismail Sabri kecewa kerana rakan-rakannya ramai tidak dinamakan oleh Ahmad Zahid sebagai calon PRU15. Manakala Khairy kecewa kerana Zahid memberikannya kerusi yang tidak selamat. Kini mereka berganding memulakan perebutan kuasa dalam UMNO secara terbuka.

“Dengan pengisytiharan gandingan mereka, saya jangka UMNO akan bergolak hebat selepas PRU15 kerana mereka akan terpaksa mengadakan pemilihan parti dalam masa enam bulan selepas PRU15,” katanya dalam Facebook beliau.

Semalam, Perdana Menteri mengakui berasa agak kecewa sebelum ini apabila ada rakan dalam Kabinet beliau daripada UMNO tidak dicalonkan untuk bertanding pada PRU15.

Selain itu, Ismail Sabri dilihat turun berkempen membantu Khairy di Sungai Buloh yang sebelum ini mengakui ada percaturan lebih besar iaitu ingin membawa perubahan kepada negeri, UMNO dan BN supaya orang Melayu mempunyai wadah politik yang boleh dianggarkan serta terbesar di Malaysia.

Justeru kata Wan Saiful, parti yang tidak stabil tidak akan dapat membawa kestabilan kepada negara apabila pemimpin akan sibuk berebut jawatan, harta dan kuasa sehingga tiada masa untuk menjaga rakyat.

“Satu-satunya gabungan yang prihatin rakyat, bersih dan stabil ialah Perikatan Nasional. Mereka yang muak dengan percaturan berpanjangan oleh orang atasan UMNO wajar memberi peluang kepada PN kali ini,” katanya. -UTUSAN

 

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya