BAGAN SERAI: Pakatan Harapan (PH) memberi tempoh 24 jam kepada Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria untuk memohon maaf secara terbuka atau berdepan tindakan mahkamah kerana ucapan berbaur fitnah dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15, semalam.
Calon PH di Parlimen Bagan Serai, Siti Aishah Shaikh Ismail berkata, Razman perlu membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas ucapan berbaur fitnah terhadap Pengerusi PH itu.
Menurutnya, satu laporan polis dibuat terhadap Razman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini tengah hari tadi.
“Kita beri masa 24 jam untuk beliau melakukan permohonan maaf atau berdepan tindakan mahkamah.
“Kita tunggu permohonan maaf daripada beliau.
“Kita juga menuntut Menteri Agama (Datuk Idris Ahmad) memberi jawapan dalam soal ini,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Kerian di sini pada pukul 12.50 tengah hari tadi.
Dalam ceramah di Tebuk Panchor petang semalam, Razman yang juga penyandang kerusi DUN Gunong Semanggol antara lain dikatakan mendakwa UMNO dan PH akan bekerjasama selepas PRU15. –UTUSAN